Arnab Daging

Monday, 29 October 2012

Upgrade Reban Part III

Ini lah reban yang telah di upgradekan. Sebelum dan selepas.

Sebelum - 3 reban besar dan 3 reban kecil diperbuat dari bingkai kayu

Selepas - Reban 10 sel 2 tingkat diperbuat dari bingkai PVC
Setakat ni hanya 5 sel digunapakai yang mengandungi 2 induk, 5 anak, dan 3 induk single dan seekor jantan. Baki 3 jantan dan 3 betina masih di reban lama bersebelahan.

Tangki air juga telah di pindahkan di atas reban baru ini.

Tuesday, 23 October 2012

Mass Production?

Sekarang RVR tidak la berada dalam keadaan sibuk kerana stock yang berada di atas tangan hanya dalam 19 ekor sahaja. Maka kami baru berfikir untuk membuat projek yang lebih besar yang merangkumi "Mass Production" iaitu pengeluaran besar-besaran. Angka yang sesuai untuk mass production adalah dalam sekitar 1,000ekor induk.
 
Maka dalam merealisasikan konsep mass production, budget perlulah di buat untuk melihat sejauh mana penternakan arnab ini boleh pergi. Budget seperti bangunan, reban dan kelengkapan lain memang memerlukan modal permulaan yang besar. Jadi, ini hanyalah sekilas idea untuk kami pergi lebih jauh.

Nantikan idea yang lebih bagus dari sekarang

Monday, 22 October 2012

RVRII - 30 ekor

Lawatan pada sabtu lepas hanya memantau stock arnab yang sedia ada. Tiada kerja-kerja berat yang di lakukan. 
 
 
Pertambahan stock - 10 ekor
 
Kali ni ada pertambahan stock sebanyak 4 ekor induk iaitu batch yang terakhir dari seorang rakan dan dari 6 ekor anak anggora mix dipindahkan dari RVR atas memenuhi permintaan tuan penjaga yang mahu memeriahkan reban arnab RVRII.
 
 
Update anak - 10 ekor
 
Pada masa yang sama terdapat seekor kematian dari kelahiran k2 yang sudah berusia genap 14hari. Suspect kematian kerana kurang zat makanan. Mungkin berebut susu dari ibu. Tinggallah 10 ekor anak dari kedua-dua kelahiran. Kelahiran ke2 juga telah dikeluarkan takung didiknya kerana atas rasa kasihan apabila melihat si anak tidak dapat menyusu dari ibunya. Dengan ketiadaan takung, si anak bebas mengejar ibu untuk menyusu. Lagipun usia 2 minggu sudah OK dah untuk anak berdikari.
 
 
Bunting ke3.
 
Terdapat seekor induk yang dirasakan bunting, mungkin baru berusia 2 minggu kandungan. Jumlah anak tidak dapat di pastikan. Takung telah di letakkan ke dalam sangkar untuk menyediakan suasana ibu yang bunting.
 
 
Kini jumlah arnab di RVR sudah mencapai 29 ekor. 20 ekor induk (4 jantan, 7 betina), 8 ekor anak 1~2 bulan dan 10 ekor anak masih menyusu.

Pada masa yang sama RVR hanya mempunyai stock 17 ekor sahaja (4 jantan, 6 betina, 2 anak usia 2 bulan dan 5 ekor anak menyusu) selepas 6 ekor anak dipindahkan ke RVRII

 

Kos Reban 2 tingkat 10 sel

Mari kita memerah otak dalam matematik pulak untuk kira kos bahan mentah.

Ikutkan sebelum sesuatu projek di buat, kita kena buat kira-kira untuk budget atau anggaran kos. Tapi reban dah siap baru nak kira kos, larilah budget. So untuk kes study, aku ambil la reban 2 tingkat 10 sel ni.


Bahan-bahan yang diperlukan,

BRC 1/2in G18 - RM5 per 3kps (12in x 36 in)

a. Lebar tapak - 2 kaki @ 24in
b. Panjang - 7.5 kaki @ 90in
c. Tinggi L1 - 20in (i) dan 10in (ii)
d. Tinggi L2 - 14in
e. Jumlah dinding L1 & L2 - 6 keping setiap level.

Maka luas BRC yang diperlukan;
= tapak + dinding L1 + dinding L2 + subdinding L1 + subdinding L2
= [ (a x b) x 2 level ] + [(b x ci) + (b x cii)] + [(b x d x 2)] + [(ci + cii)/2 x a x 6] + [d x a x 6]
= [(24 x 90) x 2] + [(90 x 20) + (90 x 10)] + [(90 x 14 x 2)] + [(20 + 10)/2 x 24 x 6] +[14 x 24 x 6]
= 4,320 + [1,800 + 900] + 2,520 + 2,160 + 2,016
= 13,716 inci persegi
= 13,716 / 144 kaki persegi
= 95.25 kps

Tambahan 10% untuk lipatan = 95.25kps x 1.1% = 104.775 kps

Harga untuk BRC sahaja 104.775 kps x RM5 / 3kps = RM174.62


PVC 1/2in - RM0.375 per 12inci & Connector

Tinggi kaki LG - 16in x 6 batang x RM0.375 / 12 = RM3.000
Tapak lebar LG - 22in x 3 batang x RM0.375 / 12 = RM2.625
Connector LG - Elbow x 6 x RM0.40 = RM2.40
Total = RM8.025

Tinggi kaki L1 - 19in x 6 batang x RM0.375 / 12 = RM3.5625
Tapak panjang L1 - 90in x 2 batang x RM0.375 / 12 = RM5.625
Tapak lebar L1 - 24in x sebatang x RM0.375 / 12 = RM0.75
Connector L1 - T x 6 x RM 0.60 = RM3.60
Total = RM13.60

Tapak panjang L2 - 90in x 2 batang x RM0.375 / 12 = RM5.625
Connector L2 - Elbow x 4 x RM0.40 + T x 2 x RM0.60 = RM2.80
Total = RM8.425

Water Feeder - 96in x 2 batang x RM0.375 / 12 = RM6.00
Connector - Elbow x 2 x RM0.40 + Cap x 2 x RM0.30 = RM1.40
Bridge - 30in x sebatang = RM0.9375
Total = RM8.3375

Grand Total = 8.025+13.6+8.425+8.3375 = RM 38.39

(PVC = 73.5kaki @ RM27,56, Elbow x 12 unit @ RM4.80, T x 8 unit @ RM4.80 dan Cap x 2 unit @ RM0.60)


Bumbung, RM2.75 per 2.5kps (12in x 30in)

32in x 30in x 6keping = 5,760in psq
= 5,760 / 144 kps
= 40kps

Harga = 40kps x RM2.75 /2.5kps = RM44.00


Others

Nipple x 10 x RM3.5 = RM35.00
1/2" kayu 90in x 2 x RM1.20 / 72in = RM3.00
Cable tie x 100pcs = RM5.00
PPE Tape = RM0.50
Lock Wire, Gun Tacker
Total = 35.00 + 3.00 + 5.00 + 0.50 = RM43.50


Maka JUMLAH KOS BAHAN;
= RM174.62 + RM 38.39 +RM44.00 + RM43.50
= RM 300.51


Mark-up dari kos bahan adalah 1/3 iaitu 35% = RM 300.51 x 135% = RM405.6885

Upah tenaga kerja mahir RM100 x 2 hari = RM200.

Harga reban 2 tingkat 10 sel ini = RM 405.6885 + RM 200 = RM 605.6887

Maka harga reban ini boleh lah digenapkan menjadi RM 600.00

Disebabkan harga reban yang mahal, aku bercadang untuk meng-cost-down-kan sedikit reban yang akan datang. Mungkin menggunakan BRC dari 1/2in x 1/2in ke 1/2in x 1in dan mempelbagaikan material BRC di bahagian dinding atas.

Upgrade Reban Part II

Kuantiti Reban
 
Jika sebelum ini perancangan 22buah reban baru akan menggantikan reban kayu sekarang ini. Tetapi atas tekanan kewangan untuk membeli bahan mentah, jumlah reban terpaksa dikurangkan dari 22 menjadi 10sel dahulu. Oleh itu reban 6 sel terpaksa dibuang 1sel menjadikannya 5 sel dan terus dinaikkan menjadi tingkat kedua. Maka sebuah reban 2 tingkat 10 sel telah siap. Hanya menantikan bumbung dan sedikit touch up.
 
Pandangan sisi belakang dan sisi depan

Pandangan depan - 95% siap

 
Order Bumbung.
 
Atap (Zink Kilang) bersaiz panjang 32 inci telah di order, lebar standard 2.5' termasuk overlap. Jumlah yang dipesan 14 keping untuk 22sel, tapi untuk 10 sel ini hanya menggunakan 6 keping sahaja iaitu 3 keping setiap tingkat. Harga kesemua 14 keping ini adalah dalam RM100. Deposit RM60 telah di bayar dahulu, dalam 3-4 hari baru kedai akan telefon apabila barang sudah sampai.

Friday, 19 October 2012

Design Reban (Upgrade)

Itu hari aku ada buat reban 6 sel. Still terbengkalai tak digunakan kerana menunggu masa untuk menempah atap. Aku dah check untuk saiz bumbung reban memerlukan panjang 32inci. Kat kedai memang saiz sependek ni takde melainkan kena potong sendiri. Kedai bagitau kita boleh juga pesan untuk saiz khas ni tapi kena bayar deposit dan tunggu. Aku pun tak tanya dengan detail sebab pada masa tu aku tengah buat reban kat RVRII dan kat sana memang banyak zink terpakai.

So tunggu punya tunggu, hati aku terdetik untuk menukarkan semua reban yang gunakan bingkai kayu kat RVR. Jadi selepas terbengkalainya 6 sel menunggu bumbung, aku proceedkan untuk 5 sel pula. Kali ni aku dah designkan untuk 2 tingkat seperti gambar di bawah.

Pen Draft

Selepas diwarnakan pakai computer

Aku buat design ni sebab aku rasa ngantuk keja kat opis. Secara asasnya ia mengikut design reban RVRII dan sama dengan 6 sel RVR yang sebelum ni.

Esok (sabtu), aku akan pergi tempah bumbung 32inci  warna hijau kat kedai hardware. Untuk 6 sel aku memerlukan 9'x2 tingkat = 18kaki lebar (standby kan sekali untuk tingkat kedua) dan 5 sel pulak 7.5'x2 = 15kaki lebar. Jadi aku perlukan (18+15) kaki x 32inci = 88kps untuk bumbung projek baru ni. Harap-harap minggu depan dah boleh pakai reban baru ni. Kalau dah boleh pakai reban baru yang ada ni, semuanya berjumlah 10sel + 6sel = 16sel. Tambahan 4 sel berbanding reban sekarang. Dan jika di tambah tingkat baru 6 sel, akan jadi 22 sel. Moga Allah permudahkan perancangan kami.

Thursday, 11 October 2012

23+K25(2) = 25 ekor

23 ekor baki terdahulu
K25 (2 ekor) dari ibu F010 yang sebelum ini sudah 3 kali melahirkan anak (K5-3, K9-7 dan K17-2) .

Induk F010 yang sedang cuak. 2 ekor anak ada kat kaki dia
 
Kelahiran ketiga dalam bulan ni adalah dari induk bertag no 010. Ia baru mempunyai 3 rekod kelahiran (3 + 7 + 2 ekor) pada tahun ini.  Kelahiran terakhir adalah pada 17hb Aug 2012 iaitu selepas 55hari baru kelahiran keempat ini menyusul. Berdasarkan pemerhatian, aku dapat merasakan induk ini bunting pada 2 minggu yang lepas. Itu pun dengan 50-50 kepastian kerana dalam 2-3 hari sekali aku pantau, bunting nya seperti ada dan tidak ada. Biasanya apabila di raba perut induk yang bunting, kita dapat merasakan buntilan-buntilan seperti guli tetapi bagi induk ini lain. Kejap ada kejap tiada. Jadi aku tak berapa yakin bahawa induk ini bunting seterusnya tidak dapat nak pastikan berapa ekor anak yang di kandung.
 
Tetapi apabila aku cuba kahwinkan dengan 3-4 ekor jantan yang berlainan, si induk menunjukkan tidak balas yang agresif dimana tindakannya boleh membawa kematian jika dibiarkan dalam tempoh masa lama. Jadi ini menunjukkan memang induk ini sedang bunting.
 
Dan apabila lahir hanya 2 ekor sahaja yang keluar, aku dapat membuatkan kesimpulan bahawa ketidakpastian aku itu memang betul kerana anak di dalam perut terlalu sedikit membuatkkan kandungan bergerak kejap ke perut kejap ke bawah sehingga aku tidak dapat memastikan dengan betul apakah ia betul-betul bunting.
 
Ini betul-betul pengalaman baru bagi aku. Dengan kehadiran ahli baru ini stok bertambah ke 25 ekor.

Monday, 8 October 2012

2nd Kelahiran RVRII

Pada hari ahad sekitar pukul 7 pagi, ketika sedang di ulit mimpi, aku telah menerima panggilan kecemasan dari RVRII. Aku mendapat berita ringkas sahaja tapi gembira mengatakan ada induk melahirkan anak. Terus aku bergegas ke tempat lokasi.
 
Tiba di tempat lokasi, memang betul ada induk melahirkan 8 ekor anak!. Tapi sayang, seekor mati kerana terdapat kesan gigitan di kakinya yang hampir putus. Mungkin ibunya tidak perasan dan tergigit ketika membersihkan uri anaknya. Aku rasa induk ini baru sahaja melahirkan anak sekitar 1 jam berdasarkan uri yang masih bersepah di keliling reban.
 
Mengikut sejarah, induk ini asalnya dari RVR yang telah di pindah kan ke RVRII pada ahad yang lepas (30hb Oct). Induk ini telah beranak 2 kali di RVR. Hasil anak pertama ialah 5 ekor yang hidup 4 ekor sehingga besar. Kelahiran kedua pula 3 ekor yang mati pada hari yang sama (30hb Aug). Ini bermakna ini adalah kelahiran yang ketiga dan paling banyak anak selepas 38hari kelahiran yang terakhir. Produktif juga induk F013 ini.

 Secara ringkas, anak di RVRII sudah bertambah. Kelahiran kedua di RVRII ini menambahkan keyakinan kami untuk meneruskan penternakan dengan lebih besar.


Antara lain, anak kelahiran pertama sudah berusia 4 hari. Tapi sayang ibunya seperti tidak pandai menjaga anak kerana hampir semua anaknya kelihatan kurus kering dan seekor sudah nyawa-nyawa ikan. Nak tak nak, aku terpaksa menyusukannya secara paksa. Selepas bulu perut ibunya aku cabut, aku suakan sekor-sekor anaknya. Yang nyawa-nyawa ikan itu aku dah tak boleh buat apa-apa dah kecuali menunggu nyawanya padam. Dah di sua ke puting induk pun dah tak mahu menyusu. Yang lain masih aktif.

Apa yang ku perhatikan, salah satu sebab kematian dan kebuluran yang berlaku pada K1 ini mungkin disebabkan bekas takung didik sementara yang digunakan iaitu sebuah mangkuk plastik. Aku telah tukarkan dengan kotak plywood yang di bawa dari RVR. Alhamdulillah, selepas bulu di cabut, diletakkan dalam kotak dan disusukan, anak-anaknya sudah duduk diam kekenyangan. Harapan aku si ibu akan terus rajin menyusukan anak.

Upgrade Reban Part I

Atas kekangan masa dan setelah hampir sebulan tertunggu-tunggu, akhirnya RVR telah membuat sedikit peningkatan ke atas reban yang sedia ada. Perancangan untuk menukar reban kayu ke reban yang lebih selesa telah di lakukan dengan menyalin semula reban tingkat atas RVRII. Hanya sedikit sentuhan tambahan diberikan dengan menambah kaki reban dengan menggunakan paip PVC.
 
Selama 2 hari kerja dilakukan, akhirnya ini la reban yang terhasil.

6 sel sangkar bersaiz 1.5'x2' setinggi 14"

Paip PVC digunakan sebagai kaki reban

Antara kebaikan reban yang menggunakan kaki PVC ini ialah, ianya ringan sekitar belas-belas kilogram sahaja disamping kosnya yang murah dan mudah dipasang. Tetapi reban masih tidak dapat di gunakan kerana menunggu atap yang bersesuaian. Jika semua sudah ada, baru lah ia dipindahkan ke tapak reban individu sekarang ni. Pada masa akan datang, RVR merancang untuk menambahkan tingkat pada reban ini dan reban ini akan menjadi tingkat atas. Dan semestinya akan menyalin rekabentuk tingkat satu dari RVRII.
 
Jumlah reban di RVR akan bertambah dari 14 ke 20 buah.

Doakan supaya segalanya berjalan dengan lancar.

Saturday, 6 October 2012

Jualan anak - 23ekor

Ikutkan jiran ni dah lama bagitau aku nak 2 ekor anak untuk dihadiahkan pada seorang kawan. Tapi ntah macam mana selepas 2 bulan dia masih tak jugak ambil. Disebabkan tempoh masa yang lama juga, anak arnab yang ditempah telah membesar dengan cantik dan harga pun telah di naikkan kepada RM100.
 
Tapi nasib baik la aku ada stock anak yang sentiasa ada pada tiap-tiap bulan. Jadi semasa dia datang ke rumah dia ada bawak sekali rakan yang dia nak hadiahkan. Dia suruh rakannya sendiri pilih. Sebelum dia datang aku dah sediakan 8 ekor stock anak yang berusia 4 minggu (5 ekor) dan 6 minggu (3 ekor). Dalam 8 ekor ni ada 3 ekor jantan dan 5 ekor betina. Nampaknya aku pun dah pandai tengok jantina anak.
 
Walaupun mix semuanya berbulu anggora membuatkan rakannya tak tau memilih yang mana satu berkenan di hati. Akhirnya dipilihnya jantan warna broken kelabu dan betina warna broken jingga yang keduanya berusia 4 minggu. Aku bekalkan juga sekilo makanan untuk tempoh semiggu. Selesai urusan, ada jugak aku bekalkan jiran dngan setong tahi arnab untuik dibuat baja kontan.

Terjualnya anak stock berbaki 23 ekor

Thursday, 4 October 2012

Pindah 1 induk ke RVRII - 25ekor

Seekor induk pedaging di pindah ke RVRII. Induk yang baru sahaja melahirkan anak pada 2 hari yang lepas dan dipisahkan anaknya dan telah dikahwinkan semula adalah induk pedaging yang terakhir di pindahkan. Selepas ini RVR hanya mempunyai baka selain dari pedaging.
 
Induk ini bertag no F013 mempunyai rekod 4 kali beranak (Jumlah 19 ekor) dalam tempoh setahun (setakat ini). Harapan aku agar kat RVRII dia akan aktif beranak jugak.

Wednesday, 3 October 2012

Carta Organisasi RVRII

Dalam melancarkan sesuatu aktiviti, peranan setiap individu amatlah penting. Maka di RVRII, kami telah mengadakan sebuah carta organisasi seperti berikut;
 
Setakat ini hanya 4 orang sahaja individu yang terlibat. Antara tugas-tugas untuk setiap individu adalah;
 
1. Penasihat - lebih di kenali sebagai advisor yang mempunyai tugas-tugas menasihat dan membimbing dari segi pemasaran, baka, idea, sebutharga dan sebagainya.
 
2. Pengurus - memantau segala hal berkaitan dengan kelancaran dan perkembangan arnab. Juga melakukan site seeing di lokasi paling kerap seminggu sekali. Menolong Penasihat dan Penyelia dalam keadaan yang memerlukan. Mengemaskini blog adalah salah satu tugas beliau.
 
3. Penyelia - memastikan arnab berada dalam keadaan sihat dan melaporkan segala aktiviti di luar jangkaan ketika di bawah penyeliaannya.
 
4. Pekerja - memberikan makanan dan keselenggaraan harian. Buat masa sekarang, pekerja di ambil secara separuh masa.
 
Insya Allah, jika projek ini berkembang dalam kuantiti yang banyak, pekerja tetap akan diserap ke dalam carta organisasi.

1st kelahiran RVRII

Semalam aku mendapat panggilan dari pengurus RVRII dengan membawa perkhabaran yang menggembirakan. Alhamdulillah, induk yang baru sahaja di transfer ke RVRII pada ahad lepas telah selamat melahirkan 6 ekor anak. Memang sudah di jangkakan kerana semasa transfer ke RVRII aku telah memberitahu bahawa si induk sedang bunting. Mungkin dalam masa 2 atau ke 3 minggu baru beranak tapi tidak la seawal minggu ni.
 
Ikutkan sejarah induk, ia telah di transfer ke RVR pada 31hb August bersama dengan 3 ekor yang lain termasuk seekor penjantan. Pada hari tersebut, tuan asal memberitahu bahawa semua induk yang di transfer sudah lama tidak di kahwinkan dalam sekitar 2 bulan. Dan pada hari di pindahkan dalam satu sangkar yang sama, si penjantan telah beberapa kali kahwin dengan betina yang ada. Tuan asal juga percaya lagi sebulan salah satu induk pasti akan beranak.
 
Sekarang, nah ia terbukti betul. Selepas 31hari, induk kelabu asap ini telah melahirkan anak pada 2hb October pada waktu tengahari. Untuk pengetahuan, pengurus RVRII memang tidak ada pengalaman menternak arnab jadi keadaan ada sedikit kelam kabut. Berdasarkan panggilan dalam handphone, si ibu telah beranak tanpa apa-apa persediaan. Ini adalah situasi yang bahaya. Tapi bernasib baik kerana reban ini sentiasa di perhatikan oleh pengurus yang juga berniaga berhampiran. Maka ia beranak bersepah.
 
Di sebabkan tiada bekas anak yang sudah disiapkan, aku menasihatkan supaya ambil apa sahaja bekas yang ada walaupun kotak kertas. Diberitakan juga tiada bulu yang di cabut, maka aku telah menyuruh supaya suratkhabar yang di carik di letakkan ke dalam bekas anak tersebut. Alhamdulillah, si pengurus mengikut arahan. Malam tadi ada telefon lagi menanyakan khabar induk dan anak. Semua ok. Tapi yang kelakarnya pengurus amat risau kerana si induk buat bodoh je macam tiada anak di dalam sangkar tersebut dengan tidak masuk ke dalam bekas anak untuk menyusukan anaknya.
 
Ini lah yang selalu di risaukan oleh penternak yang baru belajar menguruskan kelahiran pertama. Aku menyatakan bahawa itulah sifat ibu arnab. Menyusu hanya sekali je. Jangan harap la nak tengok si ibu menyusukan anaknya walaupun menunggu 5-6jam di depan sangkar. Kebiasaannya si ibu hanya menyusukan anaknya paling minimum 1 kali dalam sehari. Paling banyak pun 2 kali. Dan hanya pada maktu malam sahaja ia akan masuk ke dalam bekas. Iaitu ketika puting si ibu terasa gatal kerana pengumpulan susu.
 
Dengan sekali menyusu, si anak sudah mendapat khasiat yang sepenuhnya untuk membesar dalam satu hari. Jika sudah tahu satu kali menyusu, jangan pula kita buat tak tau saja. Pantau pula keadaan anak setiap pagi dengan melihat keadaan perut anak. Jika bulat berwarna putih, maknanya si anak telah menyusu pada waktu pagi. Jika tidak ada, haruslah kita membuat sesuatu supaya tidak mati kelaparan.
 
Pagi tadi aku telefon semula. Semua anak dalam keadaan montel dan sihat. Harapan aku supaya 6 ekor anak ini akan terus membesar di RVR seterusnya dapat dijual.
 

24+K24(2) = 26ekor

Kelahiran ke24 yang di jangkakan telah tiba awal. Seperti kelahiran ke 23, hanya 2 ekor anak sahaja yang keluar berbanding sasaran 6 ekor. Ikut sejarah induk, kali ini adalah kali ke empat kelahiran dalam masa setahun. Sebelum ni ia telah melahirkan K6-8 ekor + K11-5ekor + K12-4ekor = 17ekor. Dengan pertambahan k23 bermakna sudah menjadi 19 ekor anak dalam setahun.
 
Disebabkan 2 ekor sahaja yang di lahirkan, walaupun banyak bulu yang di cabut, 2 ekor ini telah dipindahkan ke induk yang beranak seekor semalam. Alhamdulillah, semuanya aktif menyusu. Sementara induknya sudah dikahwinkan dengan jantan no 4 (mix teddy bear). Memang si ibu nak aje tanpa banyak soal. Si jantan pulak aktif semacam. Doa aku lagi sebulan beranak balik la tuh.
 
Bandingkan saiz k23 (putih) yang beranak sekor dengan K24 (hitam)
 
 

Tuesday, 2 October 2012

23+K23(1) = 24ekor

Alhamdulillah, hari ini ibu loop ear telah beranak semula selepas 2 bulan kelahiran pertamanya. Yang mengecewakan aku dia hanya beranak sekor je berbanding sasaran aku sebanyak 3 ekor. Kalau sudah beranak seekor, maka saiz yang keluar adalah dalam saiz yang luar biasa iaitu besar sedikit berbanding anak yang di lahirkan lebih 2 ekor.
 
Dalam masa yang ada seekor baka pedaging yang berbaki di RVR menunggu saat melahirkan anak. Pagi tadi aku dah tengok dia sudah cabut bulu. Kemungkinan hari ini atau paling lewat esok pagi dia akan beranak.
 
Alhamdulillah di sini aku ada peluang untuk menyatukan anak si loop ear yang seekor ni dengan anak pedaging ini. Ini untuk mengelakkan pembaziran dari segi produktiviti induk dalam menghasilkan anak. Bila sudah di pisahkan, aku akan mengahwinkan semula si loop ear untuk melahirkan anak dalam tempoh sebulan.
 
Berdasarkan pemerhatian, arnab yang sudah beranak boleh beranak lagi dalam tempoh masa yang singkat jika anak yang dilahirkan di pisahkan awal atau si sinduk mengalami kematian anak. Nak kata kejam tak lah sangat, tapi ini lah fitrah arnab yang takda tempoh pantang.

Pindah Anggora ke RVR - 23ekor

Atas nasihat rakan yang memindahkan seekor baka Anggora jantan ke RVRII, pada akhir lawatan hujung minggu 39, aku telah memindahkan anggora tersebut ke RVR kerana kami menyasarkan hanya baka pedaging sahaja yang ada di RVRII manakala baka selain pedaging di simpan di RVR.
 
Baka jantan ini ada sedikit pelik kerana bahagian bawah perutnya ada sedikit melengkung ke atas dan tidak jejak ke tanah. Kemungkinan baka ini ada sedikit kacuk Teddy Bear. Mengikut tuan asal, si jantan ini tidak pernah dikahwinkan dengan mana-mana betina ketika di tempat lama. Maka apabila pindah ke RVR, ia akan di monitorkan dengan teliti oleh tuan RVR.
 
Maka dengan kehadiran si jantan Anggora ini, RVR mempunyai 4 ekor pejantan untuk di biakkan.
 

1st Kematian di RVRII

Dalam lawatan minggu 39 seekor anggora + loop ear telah di tarik balik ke RVR. Ini kerana customer yang hebat pada awal pesanan menunjukkan sikap acuh tak acuh untuk membayar harga RM100 yang telah diletakkan pada LA ini.
 
Pada masa yang sama berlakunya kematian pertama di RVRII di mana seekor betina pedaging yang dipindahkan sebelum ni mati tanpa sebab-sebab yang munasabah. Berdasarkan maklumat dari tuan penjaga, arnab menunjukkan sifat murung pada malam hari sabtu sebelum kematian. Berak cair juga di kesan. Ia mati pada pukul 11 pagi keesokkan harinya (Ahad).
 
Atas nasihat dari tuan penasihat, post mortem perlu di lakukan. Tapi pada aku, arnab mati seekor dua dalam masa sebulan adalah normal. Maka bangkai arnab itu telah di hapuskan sebelum sempat arahan post mortem lengkap di keluarkan.
 
Tetapi sebelum penghapusan bangkai, berdasarkan pemerhatian, najis arnab mengeluarkan bau yang busuk seperti tahi ayam candu. Dengan kematian dalam keadaan mata yang terbuka, seperti biasa arnab tidak menunjukkan pisikal yang pelik. Jadi tiada sebarang kesimpulan yang dapat di buat.
 
Adakah arnab stress? Salah makan?Terperanjat? Aku pun tak tau. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Serangan Kerengga

Awal bulan je dah jadi macam ni. Semalam, kali ni serangan kerengga adalah dari belah kanan reban berhampiran pokok pisang. Nasib baik petang tu aku balik kerja lewat tapi aku terus pergi belakang rumah. Kelihatan baru 50% serangan kerengga berbanding serangan hebat sebelum ni. Kiranya, kerengga ni belum panggil kengkawan dia lagi la ni.
 
Arnab yang di serang pulak adalah induk yang mempunyai 3 ekor anak berusia sebulan yang lahir pada K18 (28hb August, sekor anak angkat). Nasib baik 2 ekor anaknya yang cantik-cantik tuh tak kena serang. Aku tengok induk saja diserang sebab kepalanya yang paling dekat dengan atap reban yang setinggi 1 kaki je.
 
Aku pun cepat-cepat alihkan induk dan anaknya ke reban kosong yang lain. Sementara kerengga tuh aku spraykan dengan aerosol. Reban nya di alihkan dari para. Aku cari punca jalan kerengga tuh tak jumpa. Yang pasti bawah reban tuh dia dah buat hiway. Lepas spray bawah reban aku ambil penyodok, aku sodokkan najis arnab yang bertimbun tu. Anak pokok pisang yang berada kat bawah reban pun habis aku tebangkan. Dalam 4 batang jugak aku tebang. Pokok-pokok ni pulak aku bagi makan kat arnab aku.
 
Bersebelahan reban yang diserang ni adalah induk yang baru beranak sekor tuh. Aku risau plak kalau-kalau jadi kes sebelum ni yang kena serangan berturut-turut. Aku amik racun serangga jenis air, aku spraykan keliling reban. At least bila kerengga terbau racun unggas ni,  dia tak teruskan hajat jahat dorang tuh.
 
Itu hari aku dah sodokkan sarang induk kerengga ni. Ada dua, satu lagi aku tak dapat musnahkan sebab terlalu tinggi. Mau lebih 2 tingkat rumah tinggi. Harapan aku jangan la ada serangan kerengga lagi. Sabar je lah.

Monday, 1 October 2012

RVRII - Extended Part Week 39

Lawatan minggu 39 ada sedikit kelainan. Kehadiran pada hari kerja Khamis 27hb pukul 10 malam untuk memindahkan 6 ekor baka pedaging dan anak mix. Selepas itu sedikit kerja-kerja sambungan water feeder PVC untuk sangkar 6 sel.

PVC yang siap dengan water feeder di waktu tengah malam jumaat

Seterusnya lawatan pada hujung berlangsung selama 2 jam sahaja. Antara kerja-kerja tambahan adalah meningkatkan kunci selak di bahagian pintu yang menjadi masalah apabila kayu tidak digunakan sebagai bingkai sangkar. Ini hanya minor touch-up.
 
Yang paling utama adalah penambahan 6 sel sangkar ready made yang telah dipindahkan ke RVRII pada minggu lepas.


1. Sambungan air dari sangkar tingkat 1.
2. PVC di pasang di bahagian belakang kerana pintu di bahagian depan
Design 6 sel ini menggunakan atap batu sebagai tiang tapak dengan ketinggian 14 inci. Cabaran paling besar menggunakan bahan ini ialah ia tidak dapat berdiri dengan kukuh secara bersendirian. Pada mulanya 4 keping digunakan tetapi selepas puas menyelaraskannya, kami menemui kegagalan dengan 2 daripadanya pecah dua. Kayu 1"x2" yang digunakan juga melendut ke bawah.

Jadi cara lain digunakan iaitu dengan menambahkan lagi 2 keping atap di bahagian tengah untuk mengukuhkan kayu sepanjang 9 kaki tersebut. Reka letak atap juga di susun dengan cara melintang dan menegak. Akhirnya dawai di ikat dibahagian belakang sangkar untuk mengelakkan 6 sel bergerak. Akhirnya taktik ini berjaya dan terhasillah 6 baris sangkar baru untuk RVRII.

Barisan tambahan 6 sel yang sudah siap menerima penghuninya

Dengan pertambahan 6 sel ini menjadikan RVRII mempunyai capacity 18 sel sangkar. Akan datang mungkin ditambahkan lagi 4 sel sangkar ready made.

Pandangan menyeluruh RVRII bersama 18sangkar individu
dan penjaga parttimenya: Si Aidil