Arnab Daging

Tuesday, 29 January 2013

Artikel - Plan Penternakan Arnab Pedaging

Artikel ini dipetik dari http://arnabawieto.blogspot.com/ yang dipost pada 29 september 2011
 
Setelah meninjau berpuluh-puluh projek ternakan arnab yang dijalankan oleh rakan-rakan dan kenalan, saya dapati kegiatan ternakan arnab pedaging kebayakannya mengalami lambakan arnab kacukan pelbagai jenis dan jarak usia yang berbeza. Kandang ternakan bertambah sesak apabila perternak arnab juga tidak mahu ketinggalan mengusahakan ternakan arnab cantik (pet). Fenomena ini mengakibatkan pengurusan komersil yang celaru dan tidak terurus. Kesan mutakhir dari fenomena ini adalah pengeluaran arnab yang tidak selari dengan kehendak pasaran. Permintaan terhadap baka tulen gagal dipenuhi sebaliknya baka kacukan yang celaru memenuhi kandang dan sukar mendapat pasaran.

Ramai penternak arnab mengeluh dan meminta pandangan. Saya telah meninjau dan meneliti masalah ini dan saya berpendapat bahawa masalah ini berpunca dari perusahaan yang tidak terancang sedari awal. Sedari awal lagi penternak arnab tidak menentukan arah tuju perusahaannya dan tidak merancang dengan betul. Sebelum menghasilkan sesuatu produk, sepatutnya pengusaha mengkaji terlebih dahulu kehendak pasaran dan kaedah pemasaran yang berkesan. Dari sudut penternakan arnab pedaging secara komersil, kita hendaklah menghasilkan arnab pedaging sebagaimana kehendak dan permintaan pasaran supaya hasil usaha kita tidak terkandas di pertengahan jalan. Oleh itu pemilihan baka atau jenis arnab pedaging yang betul memainkan peranan penting supaya produk yang dihasilkan sesuai dan selari dengan kehendak pasaran. Ini bererti baka pedaging yang besar dan produktif tidak semestinya menguntungkan.

Flemish Giant yang besar dan mampu mencapai berat sehingga 8 kg memang agak menarik untuk pengeluaran daging arnab tetapi berdasarkan kajian, penelitian dan permintaan atau pesanan yang diterima pada masa ini, kehendak pasaran menjurus kepada arnab yang mempunyai berat di bawah 2 kg seekor. Arnab tempatan yang beratnya sekitar 1.5 - 2.3 kg yang dianggap tidak komersil sebagai arnab pedaging kini lebih diminati dan mendapat lebih permintaan. Bagi kaum Cina yang lebih dahulu meminati daging arnab pula berkehendakkan arnab tempatan yang makan kangkung dan tidak berminat pada arnab yang diternak dengan diberi makan pelet atau dedak. Fenomena ini tidak sepatutnya terlepas pandang dalam merancang penternakan arnab pedaging secara komersil.

Pada pandangan saya, arnab jenis Chincilla yang yang beratnya 2 - 3 kg pada usia 2 - 3 bulan dengan daging yang lebih padat adalah lebih sesuai dan selari dengan kehendak pasaran. Pada usia 6 -7 minggu, arnab Chincilla mencapai berat sekitar 1.5 - 2 kg. Ini lebih menepati permintaan pasaran dan tempoh tuai yang lebih pendek tentunya menjimatkan kos pengeluaran.

Pemilihan Baka dan Penghasilan Induk Tuai
Pemilihan atau penentuan jenis baka untuk memulakan projek ternakan arnab pedaging adalah amat penting dan memakan kos yang agak tinggi. Walau bagaimanapun, kaedah memulakan projek dengan induk matang walaupun memerlukan kos permulaan yang tinggi, adalah lebih menguntungkan dari aspek penjimatan masa berbanding memulakan projek dengan baka yang berumur 1 atau dua bulan meskipun baka dalam usia begini lebih mudah diperolehi dan lebih murah.

Dengan permulaan 1 set 3 ekor baka matang (1 penjantan dan 2 betina), kita dapat menghasilkan sehingga 12 ekor anak baka tulen dalam tempoh sekitar 2 bulan. Anak baka tulen ini pula akan mencapai tempoh matang selepas 5 - 6 bulan. Dalam tempoh sekitar setiap 2 bulan set 2 ekor induk asal akan menghasilkan sekitar 12 ekor anak lagi. Selepas 8 bulan anda mempunyai 15 ekor baka tulen matang, 12 ekor baka tulen 4 bulan, 12 ekor baka tulen 2 bulan dan 12 ekor baka tulen 1 minggu. Pada bulan ke-9 projek anda, jika separuh dari 15 ekor baka matang anda adalah betina maka sekitar 40 ekor anak akan dapat dihasilkan dalam satu pusingan. Pada masa yang sama anda mempunyai 8 ekor penjantan matang, 12 ekor baka tulen 5 bulan, 12 ekor baka tulen 3 bulan dan 12 ekor baka tulen 1 bulan yang boleh di jual sebagai baka tulen kepada penternak lain memerlukan baka tulen untuk memulakan projek. Ketika ini anda mempunyai 15 ekor arnab baka tulen matang + 12 ekor baka tulen 5 bulan + 12 ekor baka tulen 3 bulan + 12 ekor baka tulen 1 bulan + 40 ekor anak arnab baka tulen baru lahir. Maka anda perlu memilih sejumlah induk matang betina sebagai induk tuai dengan beberapa ekor penjantan sahaja untuk menghasilkan jumlah anak tuai (untuk menghasilkan daging) yang diperlukan. Lebihan baka bolehlah dijual sebagai baka atau dijual dagingnya supaya tidak berlaku lambakan stok yang memerlukan kos (pelet /makanan) dan ruang yang berlebihan.
 
Contoh Perangkaan Pengeluaran Arnab Pedaging
Anggaran Penghasilan Baka untuk 1 Tahun dengan set 3 (1 Penjantan : 2 Betina)
Bulan
Jumlah Baka
Bilangan Baka Matang
Lebihan Penjantan
( penyisihan )
0 Bulan
33 (1J : 2B)

1 1/2 Bulan
133 (1J : 2B)
( 4 )
3 Bulan
233 (1J : 2B)
( 9 )
4 1/2 Bulan
333 (1J : 2B)
( 13 )
6 Bulan
43
3 (1J : 2B)
( 16 )
7 1/2 Bulan
53
13 (7J : 6B)
( 20 )
9 Bulan
83
23 (12J : 11B)
( 33 )
10 1/2 Bulan
138
33 (17J : 16B)
( 55 )
12 Bulan
218
53 (26J : 27B)
( 87 )
13 1/2 Bulan
353
83 (42J : 41B)
( 141 )
Dengan anggaran 5 ekor anak setiap kelahiran dan bandingan kelahiran Jantan : Betina = 1:1
Dengan anggaran 5 ekor anak setiap kelahiran dan bandingan kelahiran Jantan : Betina = 1:1

Berdasarkan jadual di atas, strategi penyisihan penjantan perlu diberi perhatian. Penyisihan boleh dilakukan samada dengan menjual daging atau benih baka. Masalahnya, anda cuma ingin melakukan penyisihan penjantan dan perlu mengumpul induk tuai betina. Anda tidak akan dapat menjual semua penjantan sebagai baka kerana tiada padanan baka betinanya. Jika anda memulakan penyisihan pada bulan ke-3, anda akan menghadapi masalah kekurangan penjantan matang apabila terdapat permintaan set baka oleh penternak yang ingin mengikut jejak anda. Anda perlu merancang masa yang sesuai untuk penyisihan, Penyisihan penjantan berlebihan boleh mengurangkan kos penternakan tetapi kekurangan bekalan baka penjantan akan megurangkan keuntungan pada masa permintaan set baka meningkat.

Anda perlu menggunakan kebijaksanaan anda untuk menyelesaikan permasalahan ini berdasarkan kaedah, tujuan dan matlamat perusahaan anda !

Penentuan Jumlah Induk Tuai yang diperlukan

Jumlah induk tuai yang diperlukan adalah penting ditentukan mengikut keperluan pengeluaran. Pengeluaran yang tidak terkawal akan menyebabkan lambakan stok di samping meningkatkan kos. Lambakan stok akan menyebabkan peningkatan kos penjagaan dan keruntuhan harga di pasaran.

Anda sepatutnya merancang berapakah jumlah pengeluaran setiap pusingan. Dari itu anda dapat menentukan jumlah induk tuai yang diperlukan. Jika anda ingin mengeluarkan 50 ekor arnab pedaging setiap pusingan (sekitar 2 bulan), anda akan memerlukan 10 induk betina matang sebagai induk tuai dengan 2 ekor penjantan matang. Anda boleh membeli 2 ekor penjantan matang dan 10 ekor induk betina matang dengan anggaran kos RM2,250.00 (RM250.00 seekor). anda akan dapat menghasilkan keluaran sekitar 60 ekor anak tuai selepas 6 minggu dan 60 ekor lagi setiap 6 minggu - 2 bulan. Atau anda bermula dengan 1 set 3 ekor baka tulen matang (RM750.00) untuk menghasilkan 12 ekor induk matang sebagai induk tuai dalam tempoh 6 bulan.

Masalah Mendapatkan Baka Tulen Matang
Baka tulen matang biasanya diimport dari luar negara. Harganya tidaklah terlalu mahal tetapi kos pengangkutan dan urusan import menyebabkan harganya menjadi agak mahal. Lagi pun, tidak berbaloi untuk mengimport hanya beberapa ekor baka arnab matang dari luar negara.

Pada masa sekarang, terdapat banyak baka tulen yang dibiakkan di negara kita. Harganya jauh lebih murah iaitu sekitar RM 25.00 seekor anak berusia 3 minggu, RM 120.00 seekor anak 2 - 4 bulan dan RM 250.00 seekor induk matang. Walau bagaimanapun, induk matang amat sukar diperolehi kerana penternak biasanya enggan menjual baka matang kerana baka matang sudah boleh mengeluarkan hasil dan penjualan baka matang dirasakan boleh mengakibatkan persaingan pengeluaran.

Kaedah Tender Pesanan Baka Matang
Kaedah tender pesanan baka matang dapat menyelesaikan masalah bekalan baka dan lebih menguntungkan kedua belah pihak pembekal dan pembeli. Kaedah ini dilakukan dengan satu perjanjian pesanan yang dibuat antara pembiak baka dan penternak baru yang memerlukan baka. Caranya ialah, pembiak baka diberi tender membekalkan sejumlah baka matang yang diperlukan dalam tempoh 6 bulan. Suatu perjanjian bertulis perlu dibuat dan pemberi tender perlu membayar sejumlah deposit / pendahuluan kepada pembiak baka yang menerima tender. Pembiak baka akan bertanggungjawab menternak sejumlah baka yang dipesan sehingga matang dalam tempoh perjanjian. Selepas 6 bulan, barulah penternak baru memulakan usaha penternakannya dengan baka matang yang ditempahnya itu.

Dengan kaedah ini penternak baru tidak perlu memelihara benih baka atau anak arnab dan mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan seperti menyiapkan kandang dan sangkar, merancang plan pemasaran, menambah pengetahuan dan sebagainya. Pembiak baka pula dapat menumpukan perhatian kepada usaha membiak dan menternak bakanya kerana mempunyai tender yang menjamin pendapatannya. Oleh itu kaedah ini lebih menguntungkan kedua-dua belah pihak.

No comments:

Post a Comment